Friday, January 29, 2010

Wawancara Bersama Pengerusi KRT Bukit Depu

Seramai 5 orang Mahasiswa / siswi UDM Terengganu dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan telah datang mewawancara Pengerusi KRT Bukit Depu, Tn Hj Dol Razlan bin Yusof (Dry) pada 26.1.2010. Tujuan wawancara ini diadakan ialah bagi mengisi maklumat berhubung kursus Hubungan Etnik (UIE 3012) yang sedang mereka ikuti. Ke lima lima mereka ialah :- 1. Mohd Rusdi Ishak 2. Noor Hidayah bt Mat Jusoh 3. Fatimah Naimah bt Yusof 4. Umairah bt Yusof 5. Afiah Nadia bt Nordin. Kedatangan mereka telah disambut mesra oleh Tn Hj Dol dan keseluruhan wawancara telah diadakan diPos Kawalan Taman Sangsura dalam keadaan bersantai dan penuh ceria sekali. Berikut adalah sebahagian daripada wawancara yang telah diadakan. Mohd Rusdi : Apakah program yang dianjurkan oleh KRT Bukit Depu yang melibatkan kaum kaum lain? Dry : Kami di KRT Bukit Depu pernah menjalankan program Anak Angkat Sempena Kursus Orientasi Pegawai Dari Sabah , Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan yang dianjurkan oleh Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional Negeri Terengganu pada Tahun 2008. Seramai 16 orang dari kaum pribumi Sarawak dan pribumi Sabah telah diambil sebagai anak angkat oleh penduduk penduduk Mukim Bukit Depu. Apa yang istimewa nya ialah kesemua anak anak ini bukan beragama Islam. Fatimah Naimah : Dari manakah KRT Bukit Depu mendapat sumber kewangan bagi menjalankan program ? Dry : Kami mendapat sumber kewangan dari dua cara. Pertama dari geran tahunan JPNIN yang disalurkan bagi menjalankan program yang kami rancang sepanjang tahun , kedua daripada sumbangan orang ramai serta badan badan berkanun. Noor Hidayah : Pernahkah program yang diadakan , mendapat tentangan daripada pihak pihak lain ? Dry : Maksud pihak pihak lain? Alhamdulillah sehingga hari ini , belum ada ini kerana kami peka dengan sensitiviti kaum, setiap program yang bakal dirancang, kami bermesyuarat bagi melihat kebaikan dari banyak sudut. Jika kami dapati program itu tidak sesuai dan menyentuh sentimen pihak tertentu , kami batalkan saja. Afiah Nadia : Bilakah masa mesyuarat AJK KRT diadakan , sedangkan kebanyakan ahli bekerja . Dry : Kami bermesyuarat pada sebelah malam , selepas Isya’ , dan tidak lama. Perbincangan berkisar kepada perkara perkara penting yang memerlukan keputusan bersama. Biasanya ia akan berakhir dalam 1 jam setengah atau 2 jam paling lama. Umairah : Selain kaum melayu adakah kaum kaum lain yang tinggal didalam Mukim Bukit Depu, dan berapa ramaikah penduduk diMukim ini ? Dry :Tidak ada kaum2 lain yang tinggal disini. Hanya dua syarikat Cina yang menyewa bangunan untuk urusan perniagaan. Dan mereka tidak tinggal disini. Disini kami 100% Kaum Melayu lebih kurang 2000 orang . Mohd Rusdi : Apakah program yang terbesar yang pernah diadakan sebelum ini?
Dry : Sepanjang KRT ini ditubuh selama 3 tahun yang lepas , kita telah mengadakan sejumlah 66 program , termasuk program yang diadakan secara bersama. Pada tiap tiap tahun kita telah mengadakan program induk, program anjuran bersama dengan pihak agensi kerajaan, yang kita anggap besar dan dihadiri tidak kurang 1000 orang peserta dari kedua belah pihak. Pada tahun 2007 kita terlibat dengan Program Anak Angkat Wilayah Persekutuan, tahun 2008 Program Bersama Bomba dan Masyarakat , Tahun 2009’ Program bersama Pelajar UDM Terengganu’ dalam Pertandingan Bahas sempena Sambutan Ambang Merdeka . Noor Hidayah : Bagaimanakah masaalah sosial dikampung ini? Dry : Dibawah pengawasan SRS KRT Bukit Depu dan kerjasama semua pihak, alhamdulillah masalah social masih terkawal. Kami sentiasa membuat pantauan setiap masa dengan kerjasama pihak Polis , disamping mendekati remaja mukim dalam mengadakan program kesukanan seperti pertandingan bola sepak, bola jaring, lawatan serta aktiviti sosial yang lain. Fatimah Naimah : Bagaimanakah pengelibatan penduduk kampung ini didalam menyertai sesuatu aktiviti. Dry : Baik, ramai yang menyokong , malah menyertai didalam setiap program yang kami adakan.
Mengabdi kenangan dihadapan Pos Kawalan Taman Sangsura
Majlis wawancara berjalan selama lebih kurang dua jam dimana selepas itu telah diadakan sessi bergambar bersama Pengerusi KRT Bukit Depu dan mahasiswa/mahasiswi tersebut.

Friday, January 22, 2010

Malam Sambutan Maal Hijrah 1431 KRT Bukit Depu

Tanggal 15.1.10 bertempat di Perkarangan Pos Kawalan Taman Sangsura Bukit Depu, telah diadakan satu program ‘ Malam Sambutan Maal Hijrah 1431 KRT Bukit Depu’ Peristiwa Hijrah merupakan sejarah yang penting dalam Islam.

Sebahagian daripada hadirin di Program tersebut

Program ini adalah yang pertama dianjurkan KRT Bukit Depu.pada tahun 2010. Tujuan diadakan program ini ialah bagi menghayati peristiwa yang penting ini dalam kontek penghayatan masakini serta menyampaikan mesej tersebut kepada anak mukim tentang kebesaran Hijrah yang dilakukan oleh nabi junjungan Muhamad s.a.w.

Ybhg Dato' Hj Che Mat Jusoh bersama Pengerusi, Pegawai JPNIN dan UDM

Sambutan pada kali ini telah dimeriahkan lagi dengan kehadiran Ybg Dato’ Hj Che Mat bin Jusoh - Pegawai Pembangunan DUN Batu Buruk , Puan Hjh Norma bt Mohd Noor - Pegawai Perpaduan Daerah Kuala Terengganu, Cik Noraida Yusniza Yusof - Pen Pegawai Perpaduan Daerah Kuala Terengganu, Pengarah Bomba Negeri Terengganu - En Fauzan bin Ahmad serta keluarga , Cik Norshazila bt Shahidan - Pakar Pemakanan ,Sains Pemakanan UDM Terengganu ,Tok Penghulu Mukim Bukit Besar - Encik Shaharudin bin Ismail , Timbalan Presiden Kelab Rukun Negara UDM Terengganu - Cik Siti Adawiyah bt Mohd Fadzil serta rombongan ,Pengerusi JKKK Bukit Depu - Encik Mohd bin Ismail.

Tn Hj Dol membuat ucapan alualuan

Dalam ucapannya, Pengerusi KRT Bukit Depu , Tuan Hj Dol Razlan Yusof , memberi peringatan tentang pengajaran dari Maal Hijrah, mengenai penghijrahan minda , dari tidak baik kepada baik , dari taksedar kepada sedar. Inilah yang dimaksudkan perubahan sebagai orang Islam yang lebih maju , berilmu ,berdaya saing serta berfikiran bijak selaras dengan tuntutan sebagai orang Islam yang beriman.

Pn Hjh Norma membuat ucapan

Puan Hjh Norma Mohd Noor,Pegawa Perpaduan Daerah Kuala Terengganu dalam ucapannya pula menyatakan kebanggaan beliau dengan kesungguhan serta kejayaan yang telah dicapai KRT Bukit Depu dalam program ini. Idea semacam inilah yang membezakan KRT Bukit Depu dengan KRT KRT yang lain di Negeri Terengganu.

Ybhg Dato' Hj Che Mat Jusoh membuat ucapan perasmian
Dalam ucapan perasmian ,Ybg Dato’ Haji Che Mat bin Jusuh menyatakan rasa kagum beliau tentang peranan yang dimainkan oleh KRT Bukit Depu, walaupun mempunyai kemampuan yang terhad, tetapi boleh membawa mesej mengenai kesedaran perpaduan yang amat berkesan kepada penduduk setempat.

Cik Norshazila dengan aksi penuh bergaya membuat syarahan

Ceramah yang dibawa oleh Cik Norshazila Shahidan, pensyarah pemakanan Fakulti Sains Pemakanan UDM Terengganu memukau anak mukim KRT Bukit Depu pada malam tersebut .Tajuk ceramah “Penghijrahan Pemakanan Haram/Syubbah Kepada Halalan Toyyiban” telah membawa kesan yang cukup jelas dan sempurna. Ianya berkenaan dengan campuran bahan bahan yang terlarang dalam penyediaan pemakanan pada masa kini. Ini adalah satu maklumat yang berguna dan memerlukan penghijrahan baru tentang kaedah pemilihan makanan.

Majlis turut dimeriahkan dengan pertandingan Kuiz Maal Hijrah. Sebanyak empat soalan telah dikemukakan. Acara ini telah dikendalikan oleh Cikgu Nasir.

Sajian makan malam , telah disediakan oleh ahli ahli Jiran Wanita. Ianya berupa menu masakan tradisi melayu lama Terengganu. Alhamdulillah berkat kerjasama dan kerja kuat yang ditunjukkan oleh semua AJK yang terlibat ,kemeriahan pada malam Sambutan Maal Hijrah yang diadakan telah meninggalkan kesan yang tersendiri kepada anak mukim. Ia seharusnya mendapat pujian yang tinggi.

Hanya Allah sahaja yang dapat memberi rahmat dan kebaikan.

Wednesday, January 6, 2010

Majlis Akad Nikah Intan Jufflisa Alias

Tanggal 11.12.2009 merupakan tarikh amat bermakna bagi keluarga En Alias Che Muda - Penolong Setiausaha KRT Bukit Depu, kerana pada tarikh keramat ini telah dilangsungkan majlis pernikahan anak kesayangan beliau, Intan Jufflisa bersama pasangannya En Daing Bahtiar Bagindak.
Pihak pengantin lelaki dan rombongan nya dari Pontian, Johor telah berada di Kuala Terengganu satu hari lebih awal bagi mengatur perancangan. Majlis telah berlangsung dikediaman penggantin perempuan pada pukul 11.00 pagi. Acara yang berlangsung dengan sederhana tapi meriah dengan dihadiri oleh keluarga dan sahabat andai kedua dua belah pihak penggantin lelaki dan perempuan.
Upacara akad nikah telah disempurnakan oleh bapa penggantin perempuan sendiri sambil di pimpin oleh Tn Haji Mohd Awang, jurunikah mukim Bukit Depu.
Seluruh AJK KRT Bukit Depu mengucapkan tahniah dan mendoakan semoga rumah tangga yang dibina mendapat restu dari Allah SWT dan berpanjangan ke akhir hayat hendaknya.

Friday, January 1, 2010

Perutusan Tahun Baru 2010 oleh Pengerusi KRT Bukit Depu

Bismillahirrahmanirrahim Dengan Nama Allah SWT yang maha penyayang serta selawat dan salam kepada Nabi Mohamad S.A.W Nabi Junjungan. Salam Perpaduan dan Salam Satu Malaysia .
Saya bersyukur kehadrat Allah SWT kerana dengan izinNya kita telah selamat menempuh usia memasuki tahun baru 2010 Masehi dan 1431 Hijrah yang hampir serentak.Takiralah berapapun umur kita yang penting hala tuju kita, kemahuan kita, harapan kita terhadap kehidupan serta masa depan kita, bagaimana kita harapkan , rancangkan , berusaha mendapatkanya dengan membuat perancangan yang baik dan betul.
Saya mengambil kesempatan disini mengucapkan Selamat Menyambut tahun baru ,Tahun Maal Hijrah dan Tahun 2010 kepada warga KRT Bukit Depu khas nya dan kepada pengunjung website ini serta seluruh rakyat Malaysia. Semoga Allah memberikan kita kesihatan serta petunjuk dan keselamatan membina azam yang lebih bersemangat untuk kita bersama sama mencorak pengurusan kehidupan kita masing masing dengan lebih mantap demi tanggungjawab kebahagiaan, perpaduan, keselamatan kita kepada keluarga, masyarakat , negeri dan Negara.
Mengimbau kembali akan usaha usaha yang telah kita jalankan bersama sepanjang tahun 2006 sehingga 2009 , ia itu selama masa 3 tahun , Allah telah memberikan KRT Bukit Depu dengan kemurahan yang tidak kita sangka mendapat:-
1. Empat Anugerah terbaik 2. Satu Anugerah Cemerlang 3. Satu Anugerah Khas
Ini membuktikan bahawa semangat perpaduan, kesepakatan dan kerjasama kita semua telah menghasilkan kejayaan demi kejayaan.Tapi disebalik kejayaan itu kita masih lagi memerlukan penglibatan dan sokongan berterusan dari seluruh anggota, sokongan moral , tenaga ,buah fikiran dan kewangan bagi kita mengekalkan kejayaan tersebut. Semangat dan jiwa besar seperti yang ada didalam tubuh yang kecil Tuan Hj Khalid perlu mendapat sokongan dan penglibatan individu individu lain bagi menampung keperluan demi kemajuan serta kejayaan yang dirais KRT Bukit Depu terus berkekalan dan bertahan pada tahun 2010 dan tahun2 berikutnya. Dengan semangat itu sajalah baru kita dapat merasakan perkongsian kebanggaan kejayaan KRT Bukit Depu ini pada setiap ahli , menjadi seimbang.
Untuk berjaya memang payah tetapi untuk mengekalkan kejayaan lagi payah. Dalam usaha membina serta mempertahankan kejayaan yang ada sekarang , kita perlukan perancangan serta perlaksanaan yang baik serta tersusun. Setiap perkara yang dipertanggungjawabkan kepada kita perlu tindakan yang bijak dan bersungguh sungguh. Diharapkan kepimpinan semua Ketua Ketua Jiran menjadikan program program yang akan dilangsungkan sepanjang tahun 2010 dapat dijayakan tanpa bermasaalah. Ianya memerlukan pengorbanan besar yang menuntut banyak aspek keperluan kehidupan seperti keperluan masa , fikiran , cabaran dan mungkin kewangan. Sejarah mempelihatkan kepada kita bahawa kerja kerja lepas tangan kerana tidak mampu untuk memberi commitment yang sepenuhnya, tidak akan membuah kejayaan yang diharapkan. Semoga pada tahun 2010 ini perkara yang lebih baik diharapkan berlaku.
Lazimya sesuatu yang sukar diatasi didalam mana mana persatuan dan organisasi ialah sikap warganya yang tidak jujur pada organisasi itu sendiri. Sikap yang tidak jujur ini perlu dibuang jika masih membelenggu dikalangan warga KRT Bukit Depu. Saya yakin semua diantara kita ini bersetuju bahawa kita memerlukan warga KRT Bukit Depu yang memiliki keperibadian yang mulia , amanah, jujur, ikhlas, berdedikasi, bertanggungjawab sebagai pakaian kehidupan seorang Islam yang beriman. Sekiranya seseorang itu bersikap positif , dia akan berusaha menjayakan sesuatu perkara itu dengan bersungguh sungguh bagi mencapai hasil yang terbaik dan ini memerlukan kejujuran intelek yang tinggi. Saya percaya dan penuh yakin ramai ahli ahli mempunyai sifat sifat mulia ini dalam diri mereka. Pada saya ada tiga perkara sebagai pegangan menempuh kejayaan, iaitu:
1. Menyukai apa yang kita buat..love what you do. 2. Buat dengan ikhlas dan sungguh sungguh. work hard. 3. Buat perkara yang betul. do the right things supaya memberi menafaat kepada banyak pihak dan menjadi sumber ibadat pada kita.
Akhirnya disini saya mengambil peluang untuk melahirkan rasa gembira serta bersyukur kehadrat Allah diatas kejayaan kita semua dalam membina KRT Bukit Depu sehingga ketahap ini serta mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli dan individu yang telah memberikan tenaga kepakaran,kewangan serta apa jua sumbangan yang menjadikan ini semua satu kenyataan dan kebanggaan.
Mudah mudahan tahun 2010 akan memberikan kita semua lebih nikmat serta kebaikan InsyaAllah. Kepada Pengarah JPNIN Negeri Terengganu, En Mohd Khalil Hj Ahmad dan Pegawai Perpaduan Daerah Kuala Terengganu Puan Hjh.Norma bt Mohd Noor , di atas segala budi , tunjuk ajar ,semangat kerjasama serta peluang yang kalian berikan kepada kami selama ini - dan kami masih lagi mengharap segala yang sama - untuk terus memberi bimbingan .
Kepada Ybhg Dato’ Hj Che Mat Bin Jusoh yang telah banyak menabur jasa dan budi kepada kami diKRT Bukit Depu , kepada Professor Dr.Che Abdullah Abu Bakar - Dekan Fakulti Sains Pemakanan UDM Terengganu, Naib Presiden Kelab Rukun Negara UDM Terengganu - Cik Siti Adawiyah bt Mohd Fadzir, Cik Norshazila bt Shahidan pakar pemakanan dan para ilmuan diUDM Terengganu diatas kerjasama kemasyarakatan yang diberikan, Pihak Polis, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Terengganu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Majlis Daerah Marang, Jabatan Kesihatan Kuala Terengganu, MAIDAM, Yayasan Islam Negeri Terengganu , Orang orang perseorangan yang telah menyumbang dan berkerjasama bagi menjadikan tahun 2009 sungguh gemilang kepada KRT Bukit Depu ini.
Terima kasih daun keladi.
Sekian wabillah hitaufik walhidayah wassaalamualaikom warahmatullahi wabarakatuh.
Salam perpaduan. Salam Satu Malaysia.
Hj Dol Razlan Yusof